MERSING: Insiden empat penyelam warga asing yang hilang  semasa melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, di sini pada Rabu lalu, mengejutkan banyak pihak terutamanya komuniti maritim di daerah ini.

Dalam masa sama, tragedi yang berlaku itu turut menimbulkan tanda tanya berikutan kesemua mereka mempunyai pengalaman dalam aktiviti selaman di samping sedang menaik taraf sijil kelayakan menyelam.

Selain itu, kesemua mangsa turut memakai  peralatan selaman yang lengkap semasa menjalankan aktiviti berkenaan di perairan terbabit.

Justeru, banyak persoalan yang mungkin dibangkitkan, antaranya apakah sebenarnya yang terjadi terhadap penyelam warga asing berkenaan?

Berikut adalah kronologi insiden terbabit yang perlu anda tahu setakat ini.

Hari pertama (6 April 2022, Rabu)

1. Empat penyelam warga asing dilaporkan tidak timbul selepas melakukan latihan selaman di perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing sekitar jam 12 tengah hari pada Rabu

2. Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria melaporkan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya pada jam 2.35 petang.

3. Laporan dibuat oleh tekong bot yang membawa keempat-empat mangsa.

4. OP Carilamat telah diaktifkan pada 2.45 petang bagi mengesan dan menyelamat mangsa dengan penglibatan agensi Maritim, Pasukan Polis Marin serta Jabatan Perikanan Malaysia.

5. Operasi Carilamat pada hari pertama menemui jalan buntu dalam mengesan mangsa dan ditangguhkan pada 7.30 malam sebelum disambung semula pada awal pagi, hari berikutnya.


Hari kedua (7 April 2022, Khamis)

1. OPS Carilamat yang bersambung pada 7 pagi Khamis melibatkan seramai 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset.

2. Identiti kesemua penyelam warga asing yang terlibat telah dikenal pasti pada Khamis.

3. Penyelam yang hilang merupakan seorang lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46, dan anaknya Nathen Renze, 14, warga Belanda serta seorang wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18 dan wanita yang juga jurulatih penyelam 'dive master' dari Norway, Kristine Grodem, 35.

4.  Seorang jurulatih penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35 ditemukandalam keadaan terapung di 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang kira-kira jam 8.15 pagi. Mangsa diselamatkan oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

BACA: Insiden penyelam hilang di Mersing: Jurulatih selam yang ditemukan masih trauma

5. Polis Johor menahan seorang tekong bot yang membawa mangsa untuk diambil keterangan selepas didapati  positif dadah jenis Methaphetamine selepas saringan ujian air kencing dibuat keatasnya pada Khamis.

6. Pejabat daerah Mersing mengeluarkan notis untuk menangguhkan aktiviti selam skuba atau snorkeling di sekitar perairan dalam daerah itu yang berkuatkuasa serta merta.

7. OPS Carilamat pada hari kedua ditangguhkan pada jam 7 petang dan bersambung semula pada hari berikutnya.

[INFOGRAFIK] Kronologi penyelam hilang di Mersing



Hari ketiga (8 April 2022, Jumaat)

1. Gerakan mencari dan menyelamat bagi tiga lagi penyelam warga asing yang masih hilang diteruskan pada hari ketiga OP Carilamat. Bagaimanapun tiada sebarang petunjuk dan mangsa dijumpai.

2. Operasi Carilamat bersambung pada Sabtu melibatkan kawasan pencarian baharu dengan sektor pencarian turut diperluaskan sehingga ke kawasan pesisir pantai tanjung pengelih di daerah Kota Tinggi bagi mencari baki tiga lagi mangsa yang hilang.

Penyelam Hilang | APMM tambah aset untuk Op Carilamat


Hari keempat, (9 April 2022, Sabtu)

1. Menjelang hari keempat kejadian, dua daripada tiga penyelam yang masih hilang di pulau tokong sanggol ditemui selamat oleh nelayan tempatan kira-kira jam 1 pagi pada Sabtu. Mereka ialah penyelam warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46 dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18.

2. Kedua-dua mangsa ditemui oleh nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan di perairan selatan Pengerang berhampiran sempadan Perairan Indonesia. Mangsa dihantar dan menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ di Pasir Gudang.

3. Berdasarkan penemuan terbaru itu, kawasan pencarian seorang lagi mangsa diubah ke arah bawah Selatan. Pihak Indonesia dan juga Singapura juga telah dimaklumkan berhubung penemuan dua mangsa dan makluman pengubahan kawasan pencarian lagi seorang mangsa yang masih hilang.

Penyelam Hilang | Dua lagi ditemukan selamat


4. OP Carilamat bagi mengesan seorang lagi mangsa iaitu penyelam warga Belanda, Nathen Renze, 14 tahun, yang juga anak kepada mangsa terlibat, Adrian Peter Chesters masih diteruskan pada pagi.

5. Op Carilamat terbabit bagaimanapun ditamatkan pada pukul 1.30 tengah hari ini di perairan Malaysia, dengan pihak Indonesia akan menyambung operasi setelah siasatan mendapati kedua-dua penyelam warga Britain dan Perancis yang terselamat ditemui di kedudukan 16 batu nautika dari utara Pulau Bintan, Indonesia.

6. Penyelam warga Belanda, Nathen Renze Chesters, 14, yang dilaporkan hilang disahkan telah meninggal dunia oleh bapanya warganegara Britain, Adrian Chesters, 46.